Disiplin Asertif (Canter, Lee)

Marlene and Lee Canter (1976) telah membentuk satu model disiplin berdasarkan ribuan jam pemerhatian yang dilakukan ke atas guru-guru di dalam bilik darjah. Mereka telah memasukkan apa yang dilakukan oleh guru-guru yang berjaya ke dalam model yang dibentuk.

 

Disiplin Tegas Diri atau Assertive Discipline merupakan pendekatan positif dan berterusan untuk membolehkan guru-guru mengajar, manakala murid pula dapat belajar. Model ini diasaskan berdasarkan prinsip-prinsip berikut:

  1. Guru perlu mendesak dengan tegas tingkah laku bertanggungjawab.
  2. Kegagalan guru berpunca daripada kawalan murid yang lemah. Guru tersebut tidak mampu mengajar dan menafikan peluang murid untuk belajar.
  3. Kebanyakan guru percaya bahawa kawalan yang tegas (firm) sungguh melemaskan dan tidak berperi kemanusiaan. Kepercayaan ini sebenarnya adalah salah kerana kawalan tegas yang dikekalkan adalah satu bentuk kebebasan kemanusiaan. Ramai keliru antara agresif dan asertif.
  4. Guru mempunyai hak asas sebagai pendidik untuk:
    • mengekalkan seting pembelajaran yang optima.
    • menjangkakan tingkah laku yang sesuai.
    • menjangkakan pertolongan daripada pihak pentadbir dan ibu bapa apabila diperlukan.
  5. Murid mempunyai hak-hak asas untuk:
  • Mendapatkan khidmat guru yang dapat membantu mereka untuk terus berkembang melalui sekatan ke atas tingkah laku yang boleh merosakkan diri serta tingkah laku yang tidak boleh diterima di dalam bilik darjah.
  • Mendapatkan sokongan yang sesuai daripada guru berkaitan tingkah laku yang sesuai.
  • Memilih bagaimana untuk bertingkah laku dengan maklumat awal tentang kesan dan akibat yang akan diterima secara logik.
  1. Keperluan / hak-hak dan semua syarat dibentuk melalui perancangan yang dijelaskan jangkaannya kepada murid, ketekalan aplikasi kesan dan akibat serta tidak terdapat pelanggaran kepentingan murid. Disiplin asertif meliputi:
    • Sejak awal lagi dinyatakan dan diajarkan segala jangkaan berkaitan.
    • Secara berterusan menyatakan jangkaan-jangkaan dan harapan seperti “Saya perlukan kamu untuk…” dan “Saya sukakannya”. Gunakan kata ganti diri “saya” kerana penggunaan “saya” tidak akan mengganggu harga diri murid. Elakkan menyalahkan murid dengan menekankan penggunaan kata “kamu” atau “awak” kerana boleh menjejaskan harga diri murid seperti “Kamu tidak baik. Mengapa kamu tidak bertingkah laku sopan?
    • Gunakan suara yang tegas dan jelas sambil mengaplikasi kontak mata.
    • Gunakan gerak isyarat bukan lisan yang dapat menyokong pernyataan lisan.
    • Mempengaruhi tingkah laku murid tanpa melakukan ancaman atau menjerit.
    • Amalkan teknik rakaman rosak (broken record) dengan mengulangi perlahan-lahan mesej yang hendak disampaikan pada setiap kali murid cuba membantah dan elakkan daripada berdebat atau berhujah.
  2. Guru yang tegas diri adalah lebih berkesan daripada guru yang tidak mempunyai ketegasan diri. Corak permusuhan dan kelembikan guru yang menjadi punca kepada kekeliruan dan trauma psikologi pada murid, dan bukannya ketenangan atau ketegasan guru. Guru yang asertif mampu untuk mengekalkan suasana positif dan penyayang dalam bilik darjah. Suasana penyayang dan saling menyokong akan membuahkan persekitaran pembelajaran yang baik.

 

Menurut Lee dan Marlene Canter, persekitaran dan suasana yang positif serta penyayang boleh diperolehi melalui aplikasi disiplin asertif secara berhati-hati. Ia dapat menggantikan kelembaman serta permusuhan guru melalui desakan positif dan ketegasan.

Advertisements

Modifikasi Tingkah Laku Skinner

Ahli terapi tingkah laku operan umumnya melihat salah laku pada dasarnya tidak berbeza dengan tingkah laku yang lain. Individu atau murid berkenaan dilihat sebagai telah dilazimkan oleh persekitarannya untuk memberi respons yang dianggap sebagai tidak sesuai atau tidak selaras oleh masyarakat. Dengan kata lain, tingkah laku tidak selaras merupakan tingkah laku yang tidak lagi dapat memberikan kepuasan kepada individu itu atau menyebabkan ia berkonflik dengan persekitaran dan orang lain. Tiga persoalan yang perlu dilihat berdasarkan model modifikasi tingkah laku operan adalah:

  1. Tingkah laku yang manakah dianggap sebagai tidak selaras (maladaptive) dan sekerap manakah ia berlaku?
  2. Aspek situasi atau persekitaran yang bagaimanakah menyebabkan tingkah laku tidak selaras atau salah laku itu berlaku?
  3. Situasi atau persekitaran yang manakah boleh dimanipulasikan untuk menjadi lebih baik?

 

Skinner mengemukakan empat elemen utama berkaitan peneguhan iaitu peneguhan positif, peneguhan negatif, dendaan dan penghapusan. Peneguhan positif merupakan perolehan sesuatu atau hasil yang menyenangkan dan menyeronokkan setelah sesuatu tingkah laku itu ditunjukkan seperti pujian, hadiah, penghargaan dan peningkatan gred. Berdasarkan pandangan ahli psikologi tingkah laku, apabila peneguhan positif diberikan, kebarangkalian sesuatu tingkah laku itu diulangi adalah tinggi. Dalam konteks pengurusan bilik darjah dan tingkah laku, apabila murid berkelakuan tidak mengganggu perjalanan kelas malah bekerjasama sehingga membolehkan pembelajaran berjalan dengan lancar, guru boleh memberikan peneguhan positif dengan kadar segera. Contohnya dengan menyatakan “Pada hari ini semua murid telah memberikan kerjasama dengan terlibat secara aktif dalam aktiviti yang dijalankan. Saya rasa gembira dan mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih” atau “Sila berikan tepukan kepada diri sendiri kerana telah dapat menjalankan eksperimen dengan baik sekali.”

 

Peneguhan negatif pula merupakan satu keadaan apabila murid bertingkah laku yang wajar dan boleh diterima, ia tidak akan disakiti atau didenda. Guru boleh menyatakan lebih awal kepada murid seperti “Cikgu mahu kamu mencuba untuk menjawab. Walaupun jawapan kamu kurang tepat, kamu tidak akan disalahkan atau didenda. Apa yang penting ialah kamu cuba untuk menjawab” atau “Walaupun tidak semua murid dapat menyelesaikan tugasan pada hari ini tetapi kamu semua telah berusaha dan tidak ada denda yang akan dikenakan kepada yang tidak siap.” Sebaiknya guru menambah dengan memberikan motivasi kepada murid. Contohnya dengan menyatakan “Apabila kamu mempunyai masa lapang sebelum balik, kamu boleh bertanya kepada rakan yang sudah melengkapkan kerja atau berjumpa dengan saya. Di rumah pula, kamu juga boleh mendapatkan bantuan ibu bapa atau abang dan kakak untuk menyelesaikan tugasan tersebut untuk membolehkan tugasan dihantar kepada saya esok.”

 

Dendaan merupakan hukuman yang diberikan kepada murid sekiranya bertingkah laku dengan perlakuan yang tidak diingini sehingga menjejaskan perjalanan kelas seperti mengganggu rakan, membuat bising dan sebagainya. Dendaan yang diberi sebenarnya bukan sesuatu yang menyakitkan tetapi yang dapat menyedarkan murid dan telah diperbincangkan bersama ketika membina peraturan dan prosedur bilik darjah pada awal tahun dan hanya dilaksanakan setelah memberi amaran sekurang-kurangnya dua kali. Guru perlu menjelaskan mengapa dendaan itu dilaksanakan.

 

Dendaan tidak seharusnya menyebabkan murid kehilangan peluang untuk belajar. Contoh dendaan ialah meminta murid berdiri atau duduk terasing dan bersendiri di belakang kelas tanpa perlu meninggalkan muridan. Dendaan sebegini tidak akan mengganggu murid lain untuk meneruskan pembelajaran. Sekiranya murid didenda dengan meminta meninggalkan kelas, guru tetap akan bertanggungjawab atas apa juga yang akan dilakukan oleh murid di luar pengetahuan guru. Malah guru juga telah menghalang peluang untuk murid tersebut belajar. Antara matlamat pendidikan ialah membentuk tingkah laku murid agar berdisiplin dan bertanggungjawab. Dendaan akan ditarik balik apabila murid mula mengubah sikap kepada yang lebih baik dan positif.

 

Penghapusan dilaksanakan dengan mentiadakan sesuatu yang menyenangkan akibat daripada perlakuan murid yang tidak diingini atau mengganggu kelas. Sekiranya murid melakukan kesalahan di dalam bilik darjah seperti melanggar peraturan dan prosedur bilik darjah yang telah dipersetujui bersama, guru boleh membatalkan rancangan untuk bercerita atau menyanyi pada akhir kelas seperti yang lazim dilakukannya. Murid akan berasakan kehilangan suasana yang menyeronokkan dan ini bukanlah susuatu yang disukai oleh murid terutamanya kumpulan tahap satu. Bagi murid yang lebih besar, guru boleh mentiadakan peluang untuk bersenang-senang, bermain, ke kelas komputer atau ke perpustakaan sama ada sejurus selepas kelas atau pada waktu senggang yang lain. Seperti dendaan, penghapusan boleh dibatalkan apabila murid menunjukkan tingkah laku bekerjasama dalam pembelajaran.

 

Skinner mencadangkan tiga bentuk modifikasi tingkah laku mengikut prosedur operan dengan menggunakan peneguhan iaitu kawalan kendiri, ekonomi token dan biofeedback. Namun begitu biofeedback sukar dilaksanakan kerana memerlukan alat yang dapat mengesan tekanan darah, kadar denyutan nadi, tahap tekanan, suhu badan dan sebagainya. Seperkara lagi, tidak semua salah laku dapat dikesan menggunakan alat biofeedback kerana sesetengah murid tidak akan rasa bersalah sehingga mengalami perubahan denyutan nadi atau tekanan darah. Mungkin mereka menganggap apa yang dilakukan itu adalah betul.

Mengendalikan salah laku dalam bilik darjah

Semasa mengajar, guru manakah yang tidak menghadapi masalah dengan beberapa orang muridnya? Rata-rata semua guru akan menghadapi isu-isu seperti tingkahlaku disruptif dan distruktif.

Tingkahlaku disruptif didefinisikan sebagai tingkah laku yang mengganggu guru daripada melaksanakan tugas-tugas mengajar dan mengganggu murid lain untuk belajar. Antara tingkah laku disruptif yang agak kerap berlaku dalam bilik darjah ialah:

  • Makan dalam kelas
  • Memonopoli perbincangan kelas
  • Gagal untuk menghormati rakan sekelas semasa mereka memberikan pandangan
  • Bercakap semasa guru mengajar
  • Kerap mengganggu semasa guru sedang mengajar seperti bertanyakan soalan atau mengadu
  • Tidak memberikan tumpuan semasa guru mengajar (tidur atau membaca komik dan majalah)
  • Berbuat bising (bergendang dan sebagainya)
  • Keluar masuk kelas
  • Penggunaan bahasa yang boleh menyakitkan perasaan orang lain
  • Mengganggu murid lain (gangguan seksual, buli)
  • Megancam

Tingkahlaku distruktif pula murupakan tingkah laku merosakkan seperti menyakiti diri sendiri dan orang lain (agresif), memusnahkan harta benda dalam kelas (vandalisme) atau merusakkan persekitaran.

Kedua-dua bentuk salahlaku dalam kelas seperti dai atas adalah keadaan lazim yang dihadapi oleh guru. Ada kalanya salah laku tersebut menyebabkan guru menghadapi stres. Stres sangat hingga boleh menyebabkan gangguan pada perkembangan profesionalisme guru sendiri.

Apabila guru menemui situasi disruptif atau destruktif semasa mengajar dalam kelas, apakah yang guru perlu lakukan? Ada guru yang akan keluar daripada bilik darjah untuk menenangkan dirinya sendiri dan meninggalkan murid-murid di dalam kelas tanpa guru (tanpa kawalan, tanpa pemantauan, tanpa pengurusan, tanpa tugasan pembelajaran). Ada juga guru yang akan bertindak secara agresif dengan mengugut, mengancam dan menghukum murid …… menjadikan murid-murid senyap (kerana takut) dan tidak aktif belajar.

  1. Guru perlu bertenang. Tarik nafas dalam-dalam dan lepaskan perlahan-lahan. Beristighfar. Elakkan daripada terus memarahi murid berkenaan. Dengan menunjukkan rasa marah, guru akan hilang kewibawaannya sebagai guru yang dihormati. Nabi SAW pernah memberikan petunjuk apabila mengahadapi situasi marah. “Jika kamu marah dalam keadaan berdiri, duduklah. Jika kamu masih marah, padahal sudah dalam keadaan duduk, berbaringlah. Jika kamu masih marah, padahal sudah dalam keadaan berbaring, segera bangkit dan ambil air wudu untuk bersuci dan lakukan shalat sunah dua rakaat. Namun begitu, adalah suatu yang tidak mungkin akan dilakukan untuk guru berbaring dalam kelas. Berwudhuk dan solat sunat memerlukan guru keluar daripada kelas. Ini juga merupakan sesuatu yang tidak wajar dilakukan ketika sedang mengajar. Cukuplah sekadar cuba bertenang dan beristighfar.
  2. Berhenti sejenak (pause) dan cuba tukarkan kepada ton positif dan tunjukkan model tingkahlaku yang baik (khudwah hasanah) walaupun itu bermakna guru perlu menggunakan sedikit waktu untuk berfikir dan bertindak sedemikian. Akuilah bahawa guru memerlukan sedikit waktu untuk berfikir dan bertindak. Katakan “Tingkahlaku kamu memang menyakitkan hati saya tetapi berilah saya sedikit masa untuk berfikir sebelum kita membincangkannya”
  3. Jelaskan kepada murid berkenaan tentang salahlaku berkenaan dalam nada penuh kasih sayang. “Saya sayangkan kamu …… (nama murid berkenaan) tetapi apa yang kamu lakukan tadi tidak boleh diterima”.
  4. Beri peluang kepada murid berkenaan untuk memberi respons secara positif dengan guru menjelaskan bahawa apa yang dilakukan itu adalah salah dan berikan cadangan dan peluang untuk murid memperbaiki dirinya.
  5. Elakkan situasi konflik menang-kalah. Tumpukan kepada penyelesaian masalah dan bukan menghukum.
  6. Kekalkan dengan akhlak mulia (dengan sifat mahmudah) seorang guru walaupun dalam keadaan sedang marah. Tunjukkan bahawa guru sangat mengambil berat tentang murid dan gunakan peluang berkenaan untuk mewujudkan hubungan yang ‘rapport’.
  7. Tunjukan ajarkan kemahiran komunikasi dan interaksi yang baik. Tunjukkan dan ajarkan juga kemahiran belajar yang baik seperti mendengar secara aktif, mencatat nota menggunakan peta minda, member perhatian, mematuhi arahan dan sebagainya.

 

Guru yang reflektif akan bertanyakan soalan-soalan berikut:

  1. Adakah salah laku tersebut berpunca daripada perancangan pengajaran guru sendiri? Adakah kemungkinan kerana guru tersalah memilih pendekatan, strategi, kaedah dan teknik pengajaran dan pembelajaran?
  2. Adakah salah laku tersebut akibat daripada murid tidak memahami apa yang diajarkan dan menyebabkan murid merasa bosan dan mengantuk?
  3. Adakah salah laku tersebut menunjukkan ketidakuapayaan murid (gagal mengaitkan pengetahuan sedia ada dengan pelajaran baru)?
  4. Mungkinkah terdapat faktor lain yang mengakibatkan berlaku salah laku berkenaan?
  5. Adakah guru dapat mengawal faktor berkenaan?
  6. Bagaimana guru menentukan bahawa itu adalah salah laku?
  7. Bagaimana hendak mengajarkan pengurusan salah laku kepada murid?
  8. Bagaimanakah guru boleh menggunakan strategi pengukuhan untuk mengurangkan salah laku dalam kelas?
  9. Adakah sesuai untuk terus menghukum?

Lima Strategi Pengurusan Bilik Darjah

  1. Bersikap Positif

Bersikap positif kelihatan seperti satu konsep yang mudah tetapi masih ramai dalam kalangan guru yang tidak mendekati murid-murid dengan sikap yang positif hari demi hari. Guru yang mengajar dengan sikap yang positif sering mempunyai murid yang juga bersikap positif. Guru yang mempunyai sikap yang tidak disukai oleh murid, akan mempunyai murid yang dapat menggambarkan tentang kelemahan guru dalam menguruskan bilik darjah serta tingkahlaku muridd. Apabila guru menghormati murid sebagai individu serta membina murid sebagai manusia/insan, dan bukannya merosakkan mereka, maka murid akan berusaha untuk menggembirakan guru. Mulakan memberi dorongan (sokongan lisan) dengan apa yang murid lakukan dengan baik dan betul (sama ada dalam bentuk kepatuhan kepada autoriti atau pun atas kesedaran akhlak dan moral). Secara perlahan keadaan yang kurang disenangi akan berkurangan.

  1. Tetapkan Jangkaan Lebih Awal

Elakkan daripada memulakan sesi persekolahan awal tahun dengan niat untuk menjadi rakan kepada murid. Pastikan peranan guru didefinisikan secara jelas sejak awal. Murid perlu sedar pada setiap masa bahawa anda merupakan figur yang berautoriti. Hari pertama persekolahan merupakan hari yang paling penting untuk guru menentukan bagaimana pengalaman menguruskan bilik darjah akan berterusan sepanjang tahun. Mulakan dengan ketegasan / asertif dalam tindakan anda (lihat Akhiar dan Shamsina, 2011: Pengendalian Disiplin Ramaja Di Sekolah dan Di Rumah. Penerbitan Mutlimedia Sdn Bhd). Adalah penting untuk murid mengetahui sejak awal apakah peraturan bilik darjah / rutin bilik darjah serta jangkaan-jangkaan guru.

  1. Wujudkan Hubungan Rapport Dengan Murid

Meskipun anda merupakan seorang pemimpin autoitarian dalam bilik darjah, anda masih perlu membina serta mewujudkan hubungan yang rapport dengan murid sejak awal sesi persekolahan dan sebaiknya dalam konteks hubungan interpersonal. Gunakanlah sedikit masa untuk mengenali apa yang disukai dan tidak disukai oleh murid, khususnya berkaitan pengajaran an pembelajaran. Tanamkan semangat kepercayaan pada diri murid bahawa anda berada dalam kelas untuk membantu dan membimbing mereka tumbuh dan berkembang sebagai insan (memanusiakan manusia). Sekiranya perasaan dan minat untuk berdaya maju dapat ditanamkan, adalah lebih mudah untuk mendisiplinkan mereka apabila mereka melakukan kesilapan dan kesalahan. Gunakanlah kaedah, teknik serta aktiviti yang dapat menimbulkan rasa kepercayaan mereka kepada anda. Murid d pat mengsan sama ada guru bersikap pura-pura (hipokrit) atau jujur. Sekiranya mereka dapat mengesan kepura-puraan guru, anda akan menghadapi masalah untuk sepanjang tahun.

  1. Mendefinisikan Akibat Secara Jelas

Dalam minggu pertama persekolahan, adalah penting untuk guru menjelaskan akibat jangka pendek dan jangka panjang sesuatu salahlaku/kecuaian untuk kelas anda (rujuk tahap-tahap pembentukan rasa bertanggungjawab dalam Akhiar dan Shamsina, 2011). Sebaiknya, akibat jangka pendek dibina dan dipersetujui bersama murid untuk menanamkan sikap kepunyaan (sense of belonging) dalam kalangan murid. Dengan membentuk akibat-akibat daripada pilihan yang salah, murid akan menyedari bahawa apa juga akibat yang akan berlaku ekoran daripada salah membuat pilihan, akan dihitamputihkan (direkodkan) dan kemungkinan akan menjadi rekod hitam untuk masa hadapan mereka dalam dunia sebenar.

  1. Istiqamah

Perkara yang paling buruk selepas 4 perkara di atas ialah guru tidak bersikap istiqamah dengan peraturan dan akibat yang telah ditetapkan. Dengan bersikap istiqamah dengan masalah disiplin murid dalam kelas sepanjang tahun persekolahan, akan membolehkan guru menghindarkan kesalahan dan kesilapan daripada berulang. Guru yang tidak istiqamah sering menghadapi masalah pengurusan bilik darjah dan tingkahlaku murid (lihat Akhiar dan Shamsina, 2012 dalam Pengurusan Bilik Darjah dan Tingkahlaku terbitan Freemind Horizons). Sekiranya anda sendiri tidak mematuhi dan mengikut perkembangan murid anda, murid akan hilang rasa hormat kepada anda. Murid adalah bijak (smart) dan mereka akan lakukan apa sahaja untuk keluar daripada masalah yang dihadapi. Walau bagaimanapun, sekiranya guru terlibat secara langsung dengan perkembangan diri mereka, satu corak perhubungan yang baik akan terbentuk.

 

 

Pengurusan Bilik darjah: Konsep

Pengurusan bilik darjah merupakan istilah yang digunakan oleh guru untuk menjelaskan tentang proses memastikan pengajaran dan pembelajaran dapat berlangsung meskipun pada masa yang sama terdapat gangguan daripada murid / pelajar. Mungkin bagi sesetengah guru, proses untuk memastikan kelangsungan pdp ini merupakan proses yang paling sukar sehingga berlaku perlanggaran disiplin yang tidak dapat dikawal. Hal seperti ini terjadi terutamanya apabila berlaku pengabaian rasa bertanggungjawab dalam kalangan murid / pelajar semasa berada dalam bilik darjah. Di Amerika Syarikat,  isu kegagalan menguruskan bilik darjah menyebabkan seramai antara 30% hingga 50% guru meninggalkan kerjaya mereka dalam tempoh lima tahun pertama mengajar (Cooper dan Alverado, 2006). Dalam laporan mereka, Preparation, recruitment and retention of teachers, dijelaskan bahawa kebanyakan guru baru yang meninggalkan kerjaya perguruan merupakan mereka yang paling berkeupayaan dalam akademik (cemerlang semasa belajar) sebelum menjadi guru. Sekali gus dapat dilihat bahawa bukan semua orang pandai (cemerlang akademik) berkeupayaan untuk menjadi guru.

Mungkin ada yang tertanya-tanya mengapa saya telah memulakan penulisan mengenai pengurusan bilik darjah dengan topik motivasi. Kemahiran mengurus bilik darjah dan motivasi tidak dapat dipisahkan kerana motivasilah yang dapat mendorong guru untuk terus mengurus dan motivasi jugalah yang akan mendorong murid untuk bertanggungjawab. Setelah memahami peranan motivasi, maka pembaca akan dapat mengaitkan kerelavannya dengan pengurusan bilik darjah yang baik.

Laporan oleh Ingersoll (2003) menunjukkan bahawa sebanyak 44% guru Amerika Syarikat yang meninggalkan kerjaya perguruan adalah disebabkan ketidakupayaan mereka mengendalikan masalah tingkahlaku murid. Graduan cerdik ini akan beralih kepada bidang professional yang lain.

Menurut Moskovitz dan Hayman (1976), sekali guru hilang kawalan ke atas bilik darjah, maka akan menjadi lebih sukar untuk dapat mengawal semula. Masa yang perlu diambil oleh guru untuk membetulkan salah laku murid akibat daripada kelemahan kemahiran mengurus bilik darjah menyebabkan kadar penglibatan murid dalam aktiviti akademik berkurangan (Berliner, 1988). Hari pertama persekolahan merupakan hari terpenting untuk guru menunjukkan ketegasan (bukan bersikap garang) dalam pengurusan bilik darjah. Pada hari pertama itulah murid ingin mendapatkan jawapan kepada keperluan mereka seperti:

  1. Adakah saya diterima (tanpa syarat)?
  2. Adakah saya berada dalam kelas yang saya kehendaki?
  3. Adakah saya mempunyai guru yang berminat dengan gaya pembelajaran saya?
  4. Apakah rutin bilik darjah ini yang perlu saya patuhi?
  5. Adakah guru akan menjawab soalan-soalan saya?
  6. Adakah saya selamat?
  7. Apakah ekspektasi guru terhadap saya?

….dan banyak lagi

Seperti yang saya nyatakan lebih awal bahawa pengurusan bilik darjah tidak boleh dipisahkan daripada motivasi. Begitu juga halnya dengan rasa hormat dan disiplin. Tanggungjawab guru ialah menguruskan bilik darjah (agar pdp dapat berjalan dengan lancar) manakala tanggungjawab murid pula ialah berdisiplin. Kaedah terbaik merupakan isu yang masih diperdebatkan oleh pakar-pakar pendidikan. Walau bagaimana pun memang tidak ada satu kaedah yang sesuai untuk semua masa dan keadaan.

 

Rujukan

Cooper, James M., & Alvarado, Amy. (2006). Preparation, recruitment, and retention of teachers. Paris, France: UNESCO.

Ingersoll, Richard M. (2003). Is There Really a Teacher Shortage? Seattle: University of Washington, Center for the Study of Teaching and Policy.

Memotivasikan murid: Ekstrinsik atau intrinsik?

Salah satu tugas yang paling sukar bagi seorang guru ialah bagaimana memotivasikan murid untuk belajar. Ada murid, yang secara semula jadi atau dilahirkan dengan rasa minat untuk belajar. Ada juga murid yang memasuki kelas dalam keadaan terpaksa apabila mereka tidak berminat untuk belajar atau hanya berminat dengan sesetengah perkara. Guru perlu mencari jalan untuk memotivasikan murid begini.

Disebabkan terdapat dua kategori murid (berkaitan motivasi), maka guru boleh menggunakan sama ada motivasi ekstrinsik atau intrinsik. Kedua-dua jenis motivasi ini ada kelebihan dan kekurangannya. Mungkin lebih sukar untuk guru membina motivasi intrinsik murid-muridnya disebabkan motivasi intrinsik lebih bersifat peribadi. Dalam sesetengah kes, murid yang menghadapi masalah dalam kehidupan peribadi mereka, akan lebih tertumpu kepada penyelesaian masalah peribadi tersebut sehingga melupakan minat untuk belajar. Sekiranya guru tidak menunjukkan sifat mengambil tahu (mengambil berat) tentang masalah yang dihadapi oleh murid berkenaan, maka berkemungkinan besar murid tersebut akan terus tertinggal dalam pelajaran. Oleh itu, guru perlu meluangkan sedikit waktu untuk mendengar rintihan dan masalah mereka, kenali mereka, tunjukkan rasa minat untuk membantu dan bimbing mereka untuk mencapai impian.

Untuk membina serta mengekalkan motivasi intrinsik (satu bentuk kemahiran sepanjang hayat) akan mengambil masa yang panjang. Meskipun sekolah merupakan tempat untuk murid mempelajari pelbagai bidang mata pelajaran serta kemahiran, guru tidak harus melupakan peranannya untuk membantu murid menguasai kemahiran belajar. Murid perlu diajar bagaimana menganalisis teks, memahami kaedah peyelidikan (pencarian dan pengumpulan maklumat serta menjadikan maklumat tersebut bermakna), belajar untuk menjawab soalan secara betul, tepat dan padat, berkolaborasi dan bekerjasaman (bukan berlumba untuk saling menewaskan yang lain).

Motivasi ekstrinsik pula adalah lebih mudah untuk dilakukan setelah guru dapat mengenalpasti perkara yang dapat mendorong murid untuk belajar. Sama ada hadiah berbentuk token atau penghargaan, murid jenis motivasi ekstrinsik akan terdorong untuk belajar sekiranya mereka tahu untuk menghargainya. Risiko yang perlu diambil oleh guru ialah untuk melaksanakan motivasi ekstrinsik, guru atau sekolah perlu membayar dengan harga yang agak mahal. Seringkali kos motivasi ekstrinsik diletakkan bebannya ke atas Persatuan Ibu Bapa dan Guru kerana pihak sekolah kurang berkemampuan untuk menanggungnya. Satu perkara lagi, motivasi ekstrinsik hanya bertahan dalam tempoh yang tidak lama. Namun begitu, ia tetap memainkan peranan untuk memberi cahaya kesedaran dan tanggungjawab belajar. Sesetengah pakar pendidikan melihatnya sebagai satu bentuk “rasuah” kerana tidak ada unsur “keikhlasan bertanggungjawab” untuk belajar. Sebagai Muslim, belajar merupakan tangungjawab yang diwajibkan. Murid yang belajar sebenarnya merupakan murid yang menunaikan tanggungjawab yang diwajibkan, meskipun tidak mendapat apa-apa ganjaran kebendaan. Guru hanya perlu menyediakan perancah (scaffolding) ke arah rasa bertanggungjawab untuk belajar.

Guru yang dapat mengimbangkan kadar kepantasan kurikulum (peralihan daripada satu tajuk ke satu tajuk lain) dengan keinginan untuk menjadikan proses pembelajaran suatu yang menyeronokkan, mungkin akan dapat membina sistem gabungan motivasi ekstrinsik dan intrinsik yang berkesanan dan dapat menjadikan murid aktif dalam pembelajaran. Selain mendapat ganjaran, murid juga akan mendapat maklumbalas positif serta peluang untuk meneroka minat dalam skop topik atau mata pelajaran yang diajar. Contohnya, murid diberi peluang untuk memilih topik dalam lingkungan subject area atau memilih tajuk tugasan dar ipada beberapa pilihan yang disediakan oleh guru. Ini bermakna, dalam menyediakan soalan latihan atau tugasan, guru perlu menyediakan alternatif yang membolehkan murid membuat pilihan. Kaedah pembelajaran koperatif boleh digunakan untuk membolehkan murid belajar daripada rakan serta berkongsi maklumat. Setelah tugasan diselesaikan, kualaiti tugasan akan menjadi lebih baik dan ganjaran dapat diberikan dalam bentuk gred, skor atau penghargaan.

Apakah yang akan guru perolehi? Tentulah satu bentuk kepuasan dalam melaksanakan tanggungjawab atau mungkin akan mendapat penghargaan daripada pihak-pihak tertentu.

MOTIVASI INTRINSIK

Motivasi dalaman Abraham Maslow telah menyatakan mengenai motivasi dalaman dengan jelas melalui pernyataan beliau, “Kehidupan manusia tidak mungkin boleh difahami melainkan aspirasi tertingginya diambil kira. Pertumbuhan, kesempurnaan kendiri, usaha ke arah hidup sihat, pencarian identiti dan autonomi, penghasilan kecemerlangan (dan frasa-frasa lain yang menunjukkan usaha untuk meningkatkan kedudukan diri) kini mesti diterima tanpa ragu-ragu sebagai satu tendensi yang telah tersebar luas.”

Edwards Deming percaya bahawa motivasi dalaman (keinginan), pencapaian, produktiviti dan kualiti kerja tidak boleh dijadikan peraturan atau dimanipulasikan. Beliau percaya bahawa semua manusia dilahirkan bersama motivasi dalaman – dorongan dalaman untuk belajar, untuk merasa bangga dengan kerja dan tugas, untuk mencuba dan untuk memperbaiki diri. Rasa bersalah dan rasa berdosa serta rasa keinginan untuk melakukan yang baik, kesemuanya merupakan motivasi dalaman walaupun dua yang pertama kelihatan seperti negatif. Perasaan itu sebenarnya dapat dirasakan sebelum sesuatu tingkahlaku mengambil tempat.

Malone dan Lepper (1987) telah mendefinisikan motivasi dalaman (intrinsik) sebagai apa yang akan dilakukan oleh seseorang tanpa sokongan luaran (ganjaran atau dendaan). Aktiviti motivasi dalaman merupakan aktiviti yang dilakukan oleh seseorang tanpa mengharapkan ganjaran selain kepuasan dan keseronokan yang mengiringi aktiviti tersebut. Menurut Deci dan Flaste (1995) motivasi dalaman merupakan jantung kepada kreativiti, rasa tanggungjawab, tingkahlaku sihat dan perubahan yang dapat bertahan lebih lama.

Motivasi dalaman merupakan kunci kepada kejayaan. Ia dapat dijelaskan dengan pernyataan seorang pelajar remaja kepada gurunya, “Cikgu boleh memberikan kepada saya pelbagai maklumat tetapi cikgu tidak boleh memaksa saya untuk belajar.” Mungkin seorang guru tidak boleh memaksa pelajarnya belajar tetapi guru masih boleh mempengaruhi pelajar agar mereka belajar. Pendekatan yang boleh digunakan ke atas pelajar remaja masa kini untuk menukar tingkahlaku mereka dan menggalakkan pembelajaran ialah melalui kekuatan mempengaruhi tanpa unsur paksaan. Melalui kolaborasi dan pengupayaan (empowerment) kepada pelajar guru dapat mengurangkan tekanan / stres, memperbaiki hubungan guru-pelajar dan lebih berupaya untuk mempengaruhi perubahan tingkahlaku pelajarnya.

Pelajar yang berkolaborasi dengan guru untuk membentuk tingkahlaku diingini akan mula menyedari bahawa peningkatan dan penambahbaikan akan terhasil melalui keinginan dan bukan melalui penggunaan kawalan. Apa juga bentuk kesilapan perlu dilihat sebagai maklum balas untuk mendorong pertumbuhan dan penambahbaikan yang berterusan.

MOTIVASI EKSTRINSIK

Tidak ada penafian tentang kepentingan fungsi motivasi luaran dalam membentuk tingkahlaku remaja. Menurut Csikszentmihalyi dan Nakamura (1989), kebanyakan aktiviti yang melibatkan guru, pelajar dan manusia lain adalah dipengaruhi oleh motivasi luaran. Model daripada ibu bapa serta orang lain yang signifikan, yang ditunjukkan kepada para remaja, menjadi bahagian yang penting dalam proses tumbesaran mereka. “Melentur buluh biarlah dari rebung.” Remaja telah melalui pengalaman membentuk dan mengekalkan perhubungan melalui tingkahlaku yang sesuai dan sebaliknya.

Motivasi luaran memainkan peranan yang penting dalam kehidupan manusia. Fahaman psikologi mazhab behaviorisme didasarkan atas prinsip motivasi luaran sebagai penggerak awal dalam mempengaruhi tingkahlaku seseorang. Pendekatan ini dapat dilihat melalui strategi memberikan ganjaran apabila pelajar melakukan sesuatu yang baik dan menghukum apabila mereka melakukan sesuatu yang tidak baik. Hal ini menunjukkan dengan jelas bahawa tanggungjawab membentuk tingkahlaku dipikulkan ke atas pundak orang yang mempunyai autoriti atau kuasa untuk mendorong sesuatu tindakan. Ciri utama pendekatan ini menunjukkan bahawa kewujudan orang lain yang akan memberi ganjaran atau hukuman adalah diperlukan untuk mengubah tingkahlaku seseorang. Rasa bertanggungjawab diletakkan kepada orang lain dan bukannya kepada mereka yang perlu merubah tingkahlaku sendiri.

Apabila guru atau ibu bapa menggunakan motivasi luaran, lazimnya bertujuan untuk pelajar atau anak-anak melakukan apa yang dikehendaki oleh orang dewasa. Ini merupakan asas kepada pengajaran sikap patuh dan taat kepada orang dewasa. Dilemma yang timbul di sini ialah kepatuhan dan ketaatan agak kerap menjadi penyebab kepada halangan-halangan. Apabila motivasi luaran digunakan seperti penggunaan ganjaran, perolehan ganjaran yang menjadi pendorong bertingkahlaku dan bukan kerana tingkahlaku itu sendiri yang perlu diamalkan sebagai tingkahlaku yang selaras dengan tata susila, baik dan sesuai untuk dilakukan.

Aplikasi hukuman juga jelas menggambarkan motivasi luaran. Sumber kekuatannya adalah rasa takut. Kuasa ketakutan membentuk visi negatif dan mampu menghasilkan perubahan yang luar biasa tetapi hanya untuk sementara atau hanya akan dapat bertahan dalam waktu yang singkat. William Glasser (1969) menegaskan bahawa percubaan untuk menggunakan tekanan luaran untuk memotivasikan pelajar umumnya menunjukkan kegagalan. Motivasi secara langsung hanya boleh diperolehi melalui kaedah paksaan. Gambar-gambar pelbagai kesan merokok seperti kanser paru-paru, kanser kaki, kanser kerongkong yang dicetak pada kotak rokok tidak banyak memberi kesan kerana perokok boleh memilih kotak yang mempunyai gambar akibat merokok yang paling meinima iaitu kerosakan pada kaki. Rasa takut hanya wujud apabila melihat kesan yang lebih buruk dan ini dapat dielakkan dengan membeli kotak rokok tanpa gambar yang lebih menakutkan.

Perlu diingat bahawa motivasi luaran akan mengarah kepada penglibatan dalam aktiviti pembelajaran dalam jangka pendek dan mengurangkan minat jangka panjang terhadap topik yang dipelajari. Kajian yang dibuat oleh Lepper dan Hodell (1989) menunjukkan bahawa motivasi luaran semata-mata cenderung untuk memberikan kesan bertentangan dengan apa yang diharapkan oleh guru ke atas pencapaian pelajar.

MOTIVASI

Satu perkara yang agak sukar bagi seseorang guru untuk menjalankan tugasnya di sekolah ialah mempelajari bagaimana untuk memotivasikan pelajar-pelajarnya atau meningkatkan motivasi pelajar-pelajarnya pada tahap yang teringgi. Setiap pelajar itu berbeza dalam banyak hal. Apa yang memotivasikan seorang pelajar mungkin membuatkan pelajar lain kecewa. Oleh itu kaedah yang perlu digunakan oleh seorang guru ke atas setiap pelajarnya harus lebih bersifat pendekatan perseorangan. Guru perlu menawarkan pelajarnya sesuatu yang dapat dinilai sebagai bermakna untuk membolehkan mereka berperanan sebagai pelajar yang bertanggungjawab.

Motivasi didefinisikan sebagai faktor dalaman dan luaran yang mendorong kehendak dan tenaga yang terdapat pada organisma agar terus berminat dan komited untuk bertindak dan melakukan serta menunaikan tugas, kerja, peranan serta tanggungjawab secara bersungguh-sungguh untuk mencapai sesuatu matlamat. Motivasi memberi tenaga untuk bertingkahlaku dan merupakan pusat nilai / induk sesuatu tindakan. Ia terhasil daripada interaksi faktor sedar dan tidak sedar seperti kehendak, ganjaran yang akan diperolehi, harapan individu atau harapan orang yang signifikan dalam kehidupannya.

Motivasi juga dapat dilihat sebagai rancangan untuk kejayaan atau rangsangan untuk mengelakkan kegagalan. Dua kategori motivasi yang biasa dikenalpasti ialah motivasi ekstrinsik dan motivasi intrinsik. Motivasi ekstrinsik digunakan apabila tujuan pencapaian ialah untuk mendapatkan pengesahan, imbuhan dan ganjaran luaran seperti sijil pengesahan, wang ringgit atau token. Motivasi ekstrinsik juga digunakan untuk mengelakkan dendaan atau hukuman. Tenaga motivasi ini datang dari luar individu. Motivasi intrinsik pula dikaitkan dengan keinginan untuk mendapatkan atau mencapai sesuatu keinginan untuk membuktikan kebolehan serta perolehan kepuasan dalaman yang terhasil apabila individu melakukan sesuatu.

Hampir setiap perlakuan yang terjadi dapat dikaitkan dengan motivasi sama ada ekstrinsik atau intrinsik. Keinginan untuk mendapatkan hiburan akan membuatkan anda bertingkahlaku untuk mendapatkannya melalui media elektronik, media cetak atau pergi sendiri untuk menyaksikan sesuatu rancangan atau aktiviti hiburan. Rakan anda yang juga meminati hiburan mungkin akan terdorong untuk mengikut anda sekiranya disediakan kemudahan seperti kenderaan serta tiket masuk.