MOTIVASI INTRINSIK

Motivasi dalaman Abraham Maslow telah menyatakan mengenai motivasi dalaman dengan jelas melalui pernyataan beliau, “Kehidupan manusia tidak mungkin boleh difahami melainkan aspirasi tertingginya diambil kira. Pertumbuhan, kesempurnaan kendiri, usaha ke arah hidup sihat, pencarian identiti dan autonomi, penghasilan kecemerlangan (dan frasa-frasa lain yang menunjukkan usaha untuk meningkatkan kedudukan diri) kini mesti diterima tanpa ragu-ragu sebagai satu tendensi yang telah tersebar luas.”

Edwards Deming percaya bahawa motivasi dalaman (keinginan), pencapaian, produktiviti dan kualiti kerja tidak boleh dijadikan peraturan atau dimanipulasikan. Beliau percaya bahawa semua manusia dilahirkan bersama motivasi dalaman – dorongan dalaman untuk belajar, untuk merasa bangga dengan kerja dan tugas, untuk mencuba dan untuk memperbaiki diri. Rasa bersalah dan rasa berdosa serta rasa keinginan untuk melakukan yang baik, kesemuanya merupakan motivasi dalaman walaupun dua yang pertama kelihatan seperti negatif. Perasaan itu sebenarnya dapat dirasakan sebelum sesuatu tingkahlaku mengambil tempat.

Malone dan Lepper (1987) telah mendefinisikan motivasi dalaman (intrinsik) sebagai apa yang akan dilakukan oleh seseorang tanpa sokongan luaran (ganjaran atau dendaan). Aktiviti motivasi dalaman merupakan aktiviti yang dilakukan oleh seseorang tanpa mengharapkan ganjaran selain kepuasan dan keseronokan yang mengiringi aktiviti tersebut. Menurut Deci dan Flaste (1995) motivasi dalaman merupakan jantung kepada kreativiti, rasa tanggungjawab, tingkahlaku sihat dan perubahan yang dapat bertahan lebih lama.

Motivasi dalaman merupakan kunci kepada kejayaan. Ia dapat dijelaskan dengan pernyataan seorang pelajar remaja kepada gurunya, “Cikgu boleh memberikan kepada saya pelbagai maklumat tetapi cikgu tidak boleh memaksa saya untuk belajar.” Mungkin seorang guru tidak boleh memaksa pelajarnya belajar tetapi guru masih boleh mempengaruhi pelajar agar mereka belajar. Pendekatan yang boleh digunakan ke atas pelajar remaja masa kini untuk menukar tingkahlaku mereka dan menggalakkan pembelajaran ialah melalui kekuatan mempengaruhi tanpa unsur paksaan. Melalui kolaborasi dan pengupayaan (empowerment) kepada pelajar guru dapat mengurangkan tekanan / stres, memperbaiki hubungan guru-pelajar dan lebih berupaya untuk mempengaruhi perubahan tingkahlaku pelajarnya.

Pelajar yang berkolaborasi dengan guru untuk membentuk tingkahlaku diingini akan mula menyedari bahawa peningkatan dan penambahbaikan akan terhasil melalui keinginan dan bukan melalui penggunaan kawalan. Apa juga bentuk kesilapan perlu dilihat sebagai maklum balas untuk mendorong pertumbuhan dan penambahbaikan yang berterusan.

MOTIVASI EKSTRINSIK

Tidak ada penafian tentang kepentingan fungsi motivasi luaran dalam membentuk tingkahlaku remaja. Menurut Csikszentmihalyi dan Nakamura (1989), kebanyakan aktiviti yang melibatkan guru, pelajar dan manusia lain adalah dipengaruhi oleh motivasi luaran. Model daripada ibu bapa serta orang lain yang signifikan, yang ditunjukkan kepada para remaja, menjadi bahagian yang penting dalam proses tumbesaran mereka. “Melentur buluh biarlah dari rebung.” Remaja telah melalui pengalaman membentuk dan mengekalkan perhubungan melalui tingkahlaku yang sesuai dan sebaliknya.

Motivasi luaran memainkan peranan yang penting dalam kehidupan manusia. Fahaman psikologi mazhab behaviorisme didasarkan atas prinsip motivasi luaran sebagai penggerak awal dalam mempengaruhi tingkahlaku seseorang. Pendekatan ini dapat dilihat melalui strategi memberikan ganjaran apabila pelajar melakukan sesuatu yang baik dan menghukum apabila mereka melakukan sesuatu yang tidak baik. Hal ini menunjukkan dengan jelas bahawa tanggungjawab membentuk tingkahlaku dipikulkan ke atas pundak orang yang mempunyai autoriti atau kuasa untuk mendorong sesuatu tindakan. Ciri utama pendekatan ini menunjukkan bahawa kewujudan orang lain yang akan memberi ganjaran atau hukuman adalah diperlukan untuk mengubah tingkahlaku seseorang. Rasa bertanggungjawab diletakkan kepada orang lain dan bukannya kepada mereka yang perlu merubah tingkahlaku sendiri.

Apabila guru atau ibu bapa menggunakan motivasi luaran, lazimnya bertujuan untuk pelajar atau anak-anak melakukan apa yang dikehendaki oleh orang dewasa. Ini merupakan asas kepada pengajaran sikap patuh dan taat kepada orang dewasa. Dilemma yang timbul di sini ialah kepatuhan dan ketaatan agak kerap menjadi penyebab kepada halangan-halangan. Apabila motivasi luaran digunakan seperti penggunaan ganjaran, perolehan ganjaran yang menjadi pendorong bertingkahlaku dan bukan kerana tingkahlaku itu sendiri yang perlu diamalkan sebagai tingkahlaku yang selaras dengan tata susila, baik dan sesuai untuk dilakukan.

Aplikasi hukuman juga jelas menggambarkan motivasi luaran. Sumber kekuatannya adalah rasa takut. Kuasa ketakutan membentuk visi negatif dan mampu menghasilkan perubahan yang luar biasa tetapi hanya untuk sementara atau hanya akan dapat bertahan dalam waktu yang singkat. William Glasser (1969) menegaskan bahawa percubaan untuk menggunakan tekanan luaran untuk memotivasikan pelajar umumnya menunjukkan kegagalan. Motivasi secara langsung hanya boleh diperolehi melalui kaedah paksaan. Gambar-gambar pelbagai kesan merokok seperti kanser paru-paru, kanser kaki, kanser kerongkong yang dicetak pada kotak rokok tidak banyak memberi kesan kerana perokok boleh memilih kotak yang mempunyai gambar akibat merokok yang paling meinima iaitu kerosakan pada kaki. Rasa takut hanya wujud apabila melihat kesan yang lebih buruk dan ini dapat dielakkan dengan membeli kotak rokok tanpa gambar yang lebih menakutkan.

Perlu diingat bahawa motivasi luaran akan mengarah kepada penglibatan dalam aktiviti pembelajaran dalam jangka pendek dan mengurangkan minat jangka panjang terhadap topik yang dipelajari. Kajian yang dibuat oleh Lepper dan Hodell (1989) menunjukkan bahawa motivasi luaran semata-mata cenderung untuk memberikan kesan bertentangan dengan apa yang diharapkan oleh guru ke atas pencapaian pelajar.

MOTIVASI

Satu perkara yang agak sukar bagi seseorang guru untuk menjalankan tugasnya di sekolah ialah mempelajari bagaimana untuk memotivasikan pelajar-pelajarnya atau meningkatkan motivasi pelajar-pelajarnya pada tahap yang teringgi. Setiap pelajar itu berbeza dalam banyak hal. Apa yang memotivasikan seorang pelajar mungkin membuatkan pelajar lain kecewa. Oleh itu kaedah yang perlu digunakan oleh seorang guru ke atas setiap pelajarnya harus lebih bersifat pendekatan perseorangan. Guru perlu menawarkan pelajarnya sesuatu yang dapat dinilai sebagai bermakna untuk membolehkan mereka berperanan sebagai pelajar yang bertanggungjawab.

Motivasi didefinisikan sebagai faktor dalaman dan luaran yang mendorong kehendak dan tenaga yang terdapat pada organisma agar terus berminat dan komited untuk bertindak dan melakukan serta menunaikan tugas, kerja, peranan serta tanggungjawab secara bersungguh-sungguh untuk mencapai sesuatu matlamat. Motivasi memberi tenaga untuk bertingkahlaku dan merupakan pusat nilai / induk sesuatu tindakan. Ia terhasil daripada interaksi faktor sedar dan tidak sedar seperti kehendak, ganjaran yang akan diperolehi, harapan individu atau harapan orang yang signifikan dalam kehidupannya.

Motivasi juga dapat dilihat sebagai rancangan untuk kejayaan atau rangsangan untuk mengelakkan kegagalan. Dua kategori motivasi yang biasa dikenalpasti ialah motivasi ekstrinsik dan motivasi intrinsik. Motivasi ekstrinsik digunakan apabila tujuan pencapaian ialah untuk mendapatkan pengesahan, imbuhan dan ganjaran luaran seperti sijil pengesahan, wang ringgit atau token. Motivasi ekstrinsik juga digunakan untuk mengelakkan dendaan atau hukuman. Tenaga motivasi ini datang dari luar individu. Motivasi intrinsik pula dikaitkan dengan keinginan untuk mendapatkan atau mencapai sesuatu keinginan untuk membuktikan kebolehan serta perolehan kepuasan dalaman yang terhasil apabila individu melakukan sesuatu.

Hampir setiap perlakuan yang terjadi dapat dikaitkan dengan motivasi sama ada ekstrinsik atau intrinsik. Keinginan untuk mendapatkan hiburan akan membuatkan anda bertingkahlaku untuk mendapatkannya melalui media elektronik, media cetak atau pergi sendiri untuk menyaksikan sesuatu rancangan atau aktiviti hiburan. Rakan anda yang juga meminati hiburan mungkin akan terdorong untuk mengikut anda sekiranya disediakan kemudahan seperti kenderaan serta tiket masuk.