Pengurusan Bilik darjah: Konsep

Pengurusan bilik darjah merupakan istilah yang digunakan oleh guru untuk menjelaskan tentang proses memastikan pengajaran dan pembelajaran dapat berlangsung meskipun pada masa yang sama terdapat gangguan daripada murid / pelajar. Mungkin bagi sesetengah guru, proses untuk memastikan kelangsungan pdp ini merupakan proses yang paling sukar sehingga berlaku perlanggaran disiplin yang tidak dapat dikawal. Hal seperti ini terjadi terutamanya apabila berlaku pengabaian rasa bertanggungjawab dalam kalangan murid / pelajar semasa berada dalam bilik darjah. Di Amerika Syarikat,  isu kegagalan menguruskan bilik darjah menyebabkan seramai antara 30% hingga 50% guru meninggalkan kerjaya mereka dalam tempoh lima tahun pertama mengajar (Cooper dan Alverado, 2006). Dalam laporan mereka, Preparation, recruitment and retention of teachers, dijelaskan bahawa kebanyakan guru baru yang meninggalkan kerjaya perguruan merupakan mereka yang paling berkeupayaan dalam akademik (cemerlang semasa belajar) sebelum menjadi guru. Sekali gus dapat dilihat bahawa bukan semua orang pandai (cemerlang akademik) berkeupayaan untuk menjadi guru.

Mungkin ada yang tertanya-tanya mengapa saya telah memulakan penulisan mengenai pengurusan bilik darjah dengan topik motivasi. Kemahiran mengurus bilik darjah dan motivasi tidak dapat dipisahkan kerana motivasilah yang dapat mendorong guru untuk terus mengurus dan motivasi jugalah yang akan mendorong murid untuk bertanggungjawab. Setelah memahami peranan motivasi, maka pembaca akan dapat mengaitkan kerelavannya dengan pengurusan bilik darjah yang baik.

Laporan oleh Ingersoll (2003) menunjukkan bahawa sebanyak 44% guru Amerika Syarikat yang meninggalkan kerjaya perguruan adalah disebabkan ketidakupayaan mereka mengendalikan masalah tingkahlaku murid. Graduan cerdik ini akan beralih kepada bidang professional yang lain.

Menurut Moskovitz dan Hayman (1976), sekali guru hilang kawalan ke atas bilik darjah, maka akan menjadi lebih sukar untuk dapat mengawal semula. Masa yang perlu diambil oleh guru untuk membetulkan salah laku murid akibat daripada kelemahan kemahiran mengurus bilik darjah menyebabkan kadar penglibatan murid dalam aktiviti akademik berkurangan (Berliner, 1988). Hari pertama persekolahan merupakan hari terpenting untuk guru menunjukkan ketegasan (bukan bersikap garang) dalam pengurusan bilik darjah. Pada hari pertama itulah murid ingin mendapatkan jawapan kepada keperluan mereka seperti:

  1. Adakah saya diterima (tanpa syarat)?
  2. Adakah saya berada dalam kelas yang saya kehendaki?
  3. Adakah saya mempunyai guru yang berminat dengan gaya pembelajaran saya?
  4. Apakah rutin bilik darjah ini yang perlu saya patuhi?
  5. Adakah guru akan menjawab soalan-soalan saya?
  6. Adakah saya selamat?
  7. Apakah ekspektasi guru terhadap saya?

….dan banyak lagi

Seperti yang saya nyatakan lebih awal bahawa pengurusan bilik darjah tidak boleh dipisahkan daripada motivasi. Begitu juga halnya dengan rasa hormat dan disiplin. Tanggungjawab guru ialah menguruskan bilik darjah (agar pdp dapat berjalan dengan lancar) manakala tanggungjawab murid pula ialah berdisiplin. Kaedah terbaik merupakan isu yang masih diperdebatkan oleh pakar-pakar pendidikan. Walau bagaimana pun memang tidak ada satu kaedah yang sesuai untuk semua masa dan keadaan.

 

Rujukan

Cooper, James M., & Alvarado, Amy. (2006). Preparation, recruitment, and retention of teachers. Paris, France: UNESCO.

Ingersoll, Richard M. (2003). Is There Really a Teacher Shortage? Seattle: University of Washington, Center for the Study of Teaching and Policy.