Modifikasi Tingkah Laku Skinner

Ahli terapi tingkah laku operan umumnya melihat salah laku pada dasarnya tidak berbeza dengan tingkah laku yang lain. Individu atau murid berkenaan dilihat sebagai telah dilazimkan oleh persekitarannya untuk memberi respons yang dianggap sebagai tidak sesuai atau tidak selaras oleh masyarakat. Dengan kata lain, tingkah laku tidak selaras merupakan tingkah laku yang tidak lagi dapat memberikan kepuasan kepada individu itu atau menyebabkan ia berkonflik dengan persekitaran dan orang lain. Tiga persoalan yang perlu dilihat berdasarkan model modifikasi tingkah laku operan adalah:

  1. Tingkah laku yang manakah dianggap sebagai tidak selaras (maladaptive) dan sekerap manakah ia berlaku?
  2. Aspek situasi atau persekitaran yang bagaimanakah menyebabkan tingkah laku tidak selaras atau salah laku itu berlaku?
  3. Situasi atau persekitaran yang manakah boleh dimanipulasikan untuk menjadi lebih baik?

 

Skinner mengemukakan empat elemen utama berkaitan peneguhan iaitu peneguhan positif, peneguhan negatif, dendaan dan penghapusan. Peneguhan positif merupakan perolehan sesuatu atau hasil yang menyenangkan dan menyeronokkan setelah sesuatu tingkah laku itu ditunjukkan seperti pujian, hadiah, penghargaan dan peningkatan gred. Berdasarkan pandangan ahli psikologi tingkah laku, apabila peneguhan positif diberikan, kebarangkalian sesuatu tingkah laku itu diulangi adalah tinggi. Dalam konteks pengurusan bilik darjah dan tingkah laku, apabila murid berkelakuan tidak mengganggu perjalanan kelas malah bekerjasama sehingga membolehkan pembelajaran berjalan dengan lancar, guru boleh memberikan peneguhan positif dengan kadar segera. Contohnya dengan menyatakan “Pada hari ini semua murid telah memberikan kerjasama dengan terlibat secara aktif dalam aktiviti yang dijalankan. Saya rasa gembira dan mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih” atau “Sila berikan tepukan kepada diri sendiri kerana telah dapat menjalankan eksperimen dengan baik sekali.”

 

Peneguhan negatif pula merupakan satu keadaan apabila murid bertingkah laku yang wajar dan boleh diterima, ia tidak akan disakiti atau didenda. Guru boleh menyatakan lebih awal kepada murid seperti “Cikgu mahu kamu mencuba untuk menjawab. Walaupun jawapan kamu kurang tepat, kamu tidak akan disalahkan atau didenda. Apa yang penting ialah kamu cuba untuk menjawab” atau “Walaupun tidak semua murid dapat menyelesaikan tugasan pada hari ini tetapi kamu semua telah berusaha dan tidak ada denda yang akan dikenakan kepada yang tidak siap.” Sebaiknya guru menambah dengan memberikan motivasi kepada murid. Contohnya dengan menyatakan “Apabila kamu mempunyai masa lapang sebelum balik, kamu boleh bertanya kepada rakan yang sudah melengkapkan kerja atau berjumpa dengan saya. Di rumah pula, kamu juga boleh mendapatkan bantuan ibu bapa atau abang dan kakak untuk menyelesaikan tugasan tersebut untuk membolehkan tugasan dihantar kepada saya esok.”

 

Dendaan merupakan hukuman yang diberikan kepada murid sekiranya bertingkah laku dengan perlakuan yang tidak diingini sehingga menjejaskan perjalanan kelas seperti mengganggu rakan, membuat bising dan sebagainya. Dendaan yang diberi sebenarnya bukan sesuatu yang menyakitkan tetapi yang dapat menyedarkan murid dan telah diperbincangkan bersama ketika membina peraturan dan prosedur bilik darjah pada awal tahun dan hanya dilaksanakan setelah memberi amaran sekurang-kurangnya dua kali. Guru perlu menjelaskan mengapa dendaan itu dilaksanakan.

 

Dendaan tidak seharusnya menyebabkan murid kehilangan peluang untuk belajar. Contoh dendaan ialah meminta murid berdiri atau duduk terasing dan bersendiri di belakang kelas tanpa perlu meninggalkan muridan. Dendaan sebegini tidak akan mengganggu murid lain untuk meneruskan pembelajaran. Sekiranya murid didenda dengan meminta meninggalkan kelas, guru tetap akan bertanggungjawab atas apa juga yang akan dilakukan oleh murid di luar pengetahuan guru. Malah guru juga telah menghalang peluang untuk murid tersebut belajar. Antara matlamat pendidikan ialah membentuk tingkah laku murid agar berdisiplin dan bertanggungjawab. Dendaan akan ditarik balik apabila murid mula mengubah sikap kepada yang lebih baik dan positif.

 

Penghapusan dilaksanakan dengan mentiadakan sesuatu yang menyenangkan akibat daripada perlakuan murid yang tidak diingini atau mengganggu kelas. Sekiranya murid melakukan kesalahan di dalam bilik darjah seperti melanggar peraturan dan prosedur bilik darjah yang telah dipersetujui bersama, guru boleh membatalkan rancangan untuk bercerita atau menyanyi pada akhir kelas seperti yang lazim dilakukannya. Murid akan berasakan kehilangan suasana yang menyeronokkan dan ini bukanlah susuatu yang disukai oleh murid terutamanya kumpulan tahap satu. Bagi murid yang lebih besar, guru boleh mentiadakan peluang untuk bersenang-senang, bermain, ke kelas komputer atau ke perpustakaan sama ada sejurus selepas kelas atau pada waktu senggang yang lain. Seperti dendaan, penghapusan boleh dibatalkan apabila murid menunjukkan tingkah laku bekerjasama dalam pembelajaran.

 

Skinner mencadangkan tiga bentuk modifikasi tingkah laku mengikut prosedur operan dengan menggunakan peneguhan iaitu kawalan kendiri, ekonomi token dan biofeedback. Namun begitu biofeedback sukar dilaksanakan kerana memerlukan alat yang dapat mengesan tekanan darah, kadar denyutan nadi, tahap tekanan, suhu badan dan sebagainya. Seperkara lagi, tidak semua salah laku dapat dikesan menggunakan alat biofeedback kerana sesetengah murid tidak akan rasa bersalah sehingga mengalami perubahan denyutan nadi atau tekanan darah. Mungkin mereka menganggap apa yang dilakukan itu adalah betul.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: